Filem Pendek 'Sebelah Sayap' karya Matluthfi90 - MaisarahSidi.com

KLIK> Daftar Percuma Narratrs - Jana Income USD Menerusi Instagram

30 May 2013

Filem Pendek 'Sebelah Sayap' karya Matluthfi90






Jom baca respon tentang filem pendek ini daripada saudara penulis Hilal Asyraf di FB beliau . . .

Alhamdulillah, sebelum saya mengarang panjang, betapa saya ingin mengajak rakan-rakan untuk menonton video ini. Bukan karangan saya ini untuk menyatakan short filem ini buruk atau baik. Kerana ianya pada saya memang baik.

Namun saya suka nak memberikan sebuah respon untuk video ini.

Saya adalah budak yang membesar dalam keluarga yang mengikuti proses dakwah dan tarbiyah. Semenjak kecil, saya mengikuti kem-kem tarbawi. Saya dihantar ke Tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang dibina oleh orang-orang yang mewakafkan diri mereka di atas jalan dakwah dan tarbiyah.

Usroh, tamrin, ijtima', dan jargon-jargon seperti takwin fardil muslim, muwosofat tarbiyah, ustaziatul alam, baitud dakwah, dan pelbagai lagi adalah perkara yang telah mendarah daging di dalam hidup saya.

Hingga pernah saya sendiri rasa 'superior'.

Namun perjalanan ilmu dan perubahan suasana mendidik saya untuk memecahkan superioriti itu. Saya mula belajar memahami orang lain yang tidak merasai nikmat usroh, tamrin, ijtima' dan lain-lain.

Saya belajar melepak dengan mereka, dan saya mula faham bahawa antara faktor utama dakwah adalah 'sentuhan hati'. Dan kadangkala ianya memerlukan masa yang lama.

Dengan pertambahan ilmu dan pemerhatian hasil banyaknya berjalan, saya mula lihat betapa kita tidak sepatutnya wewenang hendak melabel rakan-rakan kita dengan label yang berat seperti kafir, munafiq, tidak beriman dan sebagainya. Sebaiknya dicambuk ayat-ayat itu pada diri sendiri sebelum sibuk diletakkan pada bahu orang lain.

Antara yang banyak mengubah saya adalah Buku Bagaimana Menyentuh Hati karangan Abbas As-Sisy. Buku yang mendidik untuk diri ini melihat sesuatu itu dari pelbagai perspektif.

Saya mula memahami bahawa,
jika benar kita ini semakin mendekati Allah,
maka sepatutnya kita menjadi semakin kerdil,
bukan semakin membesar diri.

Saya mula memahami taktik dan kepelbagaian strategi dakwah, bukanlah semata-mata dengan ayat azab siksa neraka, tetapi juga hendaklah dimotivasikan manusia ini dengan ayat-ayat keluasan keampunanNya, ganjaran syurgaNya. Kerana Allah SWT sendiri adalah yang seimbang ayat-ayatNya. Taktik targhib(galakan) dan tarhib(amaran) adalah antara uslub yang Allah SWT gunakan.

Lihatlah ayat-ayatNya:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." ~ Surah Ibrahim ayat 7.

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). ~ Surah Al-An'am ayat 160

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ~ Surah Al-Baqarah ayat 256

Maka sepatutnya juga kita punya ciri-ciri targhib dan tarhib ini dalam urusan dakwah dan tarbiyah kita.

Rasa syukur kita mendapat nikmat usroh, tamrin, tarbiyah dan sebagainya itu kita manifestasikan dalam bentuk kita bersungguh-sungguh mengajak manusia dengan hikmah(bijaksana) kepada Allah SWT.

Kita mahu Islam yang ramah, bukan Islam yang marah tak tentu fasal.

Jangan kerana dakwah kita, buat Islam jadi terfitnah, dan buat orang makin jauh daripada Allah SWT.

Allah telah menunjukkan kita dengan jelas di dalam Hadith riwayat Muslim yang mana Rasulullah SAW menceritakan perihal pembunuh yang telah membunuh 100 orang. Kala dia membunuh 99 orang, dia bertemu dengan seorang alim untuk bertaubat.

Alim ini menyatakan dia tidak boleh bertaubat, tak ada harapan. Maka apakah balasan Allah kepada si alim ini? Alim ini dibunuh. Menjadi asbab kepada si pembunuh menambah lagi dosanya. Di dalam syarah hadith tersebut, ianya seakan simbolik kepada 'tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pendakwah'.

Kemudian dalam keadaan mangsanya genap 100, pembunuh tadi tetap tidak melepaskan sangka baiknya kepada Allah, lantas dia mencari pula alim yang seterusnya untuk mengajarnya agar bertaubat.

Alim yang seterusnya menyatakan bahawa pengampunan Allah amat luas. Dan menunjukkan kepada si pembunuh kampung yang suasananya baik untuk perubahan. Maka si pembunuh, bergerak ke kampung itu. Di tengah perjalanan dia dijemput kematian.

Sengaja Allah mengarahkan sebuah 'drama' antara malaikat rahmat dan malaikat azab, untuk melakonkan 'sketsa' apakah lelaki ini ke syurga dan ke neraka. Sengaja Allah menyuruh dua malaikat ini mengukur jarak lelaki ini antara dua kampung. Jika hampir ke kampung kebaikan, bawalah dia ke syurga, jika lebih hampir dengan kampung yang sebelumnya, bawalah dia ke neraka. Bila diukur, nyata dia lebih dekat dengan kampung kebaikan dan dia dibalas dengan syurgaNya, walau belum lagi bertaubat.

Mengapa wujudnya 'drama' dan 'sketsa' itu? Apakah kerana lelaki itu bernasib baik mati dalam keadaan dirinya berjaya lebih dekat dengan kampung kebaikan? Tidak. Siapakah yang mematikan lelaki itu, di saat itu, pada tempat itu, pada jarak yang sedemikian?

Bukankah Allah? Maka tidakkah kita melihat? Allah telah menerima pembunuh yang bersungguh untuk bertaubat ini, bahkan memuliakannya hingga malaikat sanggup 'berbincang' akan siapakah yang lebih layak mengambilnya, dan nyata dia telah lebih mulia dengan 'dipilih' sendiri oleh Allah SWT untuk memasuki syurgaNya.

Apakah alim yang pertama dapat? Dia tidak mendapat apa-apa dek emosinya. Sedang pembunuh 100 orang memasuki syurgaNya. Begitulah Allah memberikan pembalasan. AdilNya tidak akan mampu diukur sendiri oleh manusia.

Maka bagaimana pula kita?
Yang Allah bagi nikmat faham jargon-jargon arab,
bahkan ada yang pandai cakap arab,
yang semenjak kecil ikut usroh, program tarbawi, tamrin,
naik pelbagai level dalam jemaah kita,
dan macam-macam lagi.

Apakah layak untuk berlagak, dan menerakakan orang?
Atau kita kena rasa, nikmat itu adalah agar kita mencontohi alim kedua dalam cerita pembunuh 100 orang tadi, moga kita ini menjadi cahaya buat yang runsing dan ragu dengan kehidupannya, dengan dosa-dosanya?

Bukankah kita semua ini pun,
hatta yang ikut usroh,
kita ada dosa kita, ada keaiban-keaiban kita,
cuma Allah menyembunyikannya?

Maka mengapa kita kena rasa 'superior'?
Apa syurga neraka kita punya?
Tidak sama sekali.

Maka di dalam perjalanan hidup saya, dek kerana saya mula memahami perkara ini, maka saya karang Buku Motivasi Untuk Kita Pendosa, taglinenya - Harapan Selalu Ada.

Harapan selalu ada. Itu yang saya percaya.

Jika berdosa, bertaubatlah. Jika berdosa lagi, bertaubatlah lagi. Berkali-kali. Dengan rasa penuh penyesalan dan keinsafan. Jika diuji dan tergelincir lagi, bertaubatlah lagi. Lagi. Lagi. Lagi dan lagi.

Ketahuilah Allah itu tidak bosan sebagaimana bosannya manusia.
Dia Maha Mengetahui hati kita, Dia Maha Memahami Keadaan kita. Dia tahu kita usaha keras. Dia tahu kita saban malam menangis mengadu kepadaNya. Dia tahu kita bukan sengaja-sengaja, wewenang nak ingkar kepadaNya. Dia tahu, walau berulang kali kita terjatuh, kita rajin bangkit semula bertaubat kepadaNya.

Biarlah kita mati dalam keadaan berusaha, dari mati tak buat apa-apa.

Rakan-rakan, kita semua pendosa.
Jangan resah dan gelisah seakan tiada lagi cahaya.
Situasi watak Mat dan rakannya di penghujung video merenjat saya.

Rakan-rakan, saya bukan malaikat, bukan nabi, bukan juga manusia terbaik, tersoleh di muka bumi ini. Saya ada dosa juga, ada aib juga. Tetapi saya usaha apa saya boleh usaha, agar diri saya dan diri kita semua berjaya ke syurgaNya.

Saya tidak dapat bersama anda sentiasa. Maka moga karya saya - Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada - akan anda jumpai, selami, dalami.

Allah bagi kita hidup,
tandanya Dia sedang berikan peluang untuk kita masuk ke syurgaNya.

Sama-sama kita muhasabah.

Maaf atas coretan panjang.
Video Mat ini sangat terkesan buat saya.


................sekian respon saudara Hilal Asyraf di FB nya................



# Saya sendiri sangat tersentuh dengan video ini.
Kadang2 manusia lebih suka menghukum, menghina, mengherdik daripada mengajak kepada kebaikan. Bukan manusia yang menentukan syurga atau neraka seseorang. Hanya Allah yang menentukan segalanya. Peluang dan harapan pasti ada untuk sesiapa yang berharap.



MENARIK UNTUK ANDA, KLIK SINI >>> http://bit.ly/12OKTJi



3 comments:

Terima kasih atas komen anda