Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sebar Syiah Melalui Novel

8 Zulkaedah 1434H

Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin


JITRA - Pelbagai kaedah digunakan pendukung Syiah untuk menyebar fahaman itu di negara ini, termasuk menarik ahli baru.

Kini, mereka menggunakan novel pula untuk tarik golongan muda mendekati fahaman itu secara halus tanpa disedari oleh pembacanya sendiri.

Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, seorang novelis terkenal didapati memasukkan unsur-unsur Syiah dan kebaikannya sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.

Beliau berkata, sebuah novel mengisahkan masalah yang melanda golongan wanita yang tidak dapat diselesaikan melalui pendekatan Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi berjaya ditangani melalui Syiah.

“Novelis ini bijak menyusun jalan cerita dengan menyelit fahaman Syiah tanpa disedari oleh pembacanya. Ia juga memasukkan petikan hadis untuk memantapkan penulisannya.

“Memang pembaca tidak perasan kerana hero atau penyelamat diceritakan secara bersahaja dengan menggunakan watak baru yang tidak dikaitkan dengan Syiah. Kalau kita perhalusi baru nampak mesej yang tersirat,” katanya selepas menutup Seminar Menangani Isu Syiah di Malaysia peringkat IPT Zon Utara anjuran Jabatan Mufti Kedah dan Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Seminar itu berlangsung dua hari dan berakhir semalam. Menurutnya, trend menggunakan novel sebagai medium penyebaran fahaman Syiah dikesan sejak beberapa tahun lalu dengan sasaran kepada golongan muda dan remaja.

“Kita tahu sekarang ini, remaja begitu tertarik dengan novel dan kesempatan ini digunakan oleh pendukung Syiah untuk mempromosikan fahaman mereka kepada anak muda kita melalui pembacaan santai.

“Ada sesetengah remaja menjadikan novelis itu sebagai idola mereka kerana tertarik dengan koleksi novel yang dihasilkan. Dalam ramai-ramai pembaca itu, pasti ada juga yang tersangkut atau terjebak dengan perangkap Syiah,” katanya.

Marwazi berkata, aktiviti novelis itu dan hasil karyanya kini sedang dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Dalam sesi soal jawab tadi, ada peserta akui baca dan ikuti perkembangan novel dihasilkan novelis ini.

“Jadi tidak hairanlah novel menjadi tarikan untuk remaja masa kini. Jadi mereka perlu lebih berhati-hati memilih bacaan yang sesuai agar tidak menggugat atau memesongkan akidah,” katanya. - Sinar Harian.


# Syiah semakin menular dalam diam. Ayuh umat Islam kita bersatu padu perangi Syiah. Jangan politikkan Syiah. Bersama-samalah kita memperbanyakkan ilmu agama agar tidak sesekali terpesong dengan ajaran Syiah.


Catat Ulasan for "Sebar Syiah Melalui Novel"