Syiah Mula Berkembang di Facebook - MaisarahSidi.com

KLIK> Daftar Percuma Narratrs - Jana Income USD Menerusi Instagram

12 September 2013

Syiah Mula Berkembang di Facebook

6 Zulkaedah 1434H

Dakwah gerakan Syiah cuba mengaburi penggunaan laman sosial dengan menggunakan akaun ‘Syiah tetap Islam’.



Antara akaun Facebook Syiah yang menggunakan nama ‘Ahlul Bait Nabi SAW’



ALOR SETAR – Selepas pendedahan demi pendedahan dilakukan oleh tokoh-tokoh agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik mengenai kegiatan fahaman Syiah di negara ini, gerakan itu didapati semakin giat mengembangkan fahaman berkenaan kepada golongan belia menerusi laman sosial.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ia mula menular di laman sosial dengan pelbagai nama akaun sejak Ogos 2011 dan Mei 2012. Bagaimanapun, penularan itu dilihat semakin aktif sejak kebelakangan ini.

Lebih mengejutkan, akaun tersebut turut menggunakan nama ‘ i’m proud to be Syiah in Malaysia’ sebagai tarikan kepada pengguna laman sosial.

Difahamkan, penggunaan laman sosial itu bertujuan untuk mendedahkan mengenai fahaman dan kegiatan Syiah serta perbezaan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna Facebook (FB) yang beragama Islam mengambil kesempatan untuk meninggalkan komen yang berbentuk kemarahan termasuk mencerca perbuatan dan kegiatan fahaman itu di akaun berkenaan kerana bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ismail Ishak berkata, tidak dinafikan pihak berkenaan cuba menggunakan laman sosial sebagai dakwah kepada orang ramai.

Menurutnya, penularan itu bukan sahaja boleh menggugat golongan belia yang sering melayari laman sosial, malah boleh mengancam akidah umat Islam yang lain tanpa mengira pangkat, umur dan jantina.

“Sebelum ini pada 5 Mei 1996, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan Syiah adalah haram.

“Keputusan itu juga menetapkan sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah haram. Oleh itu, perkara ini tidak boleh dibiarkan berleluasa dan perlu tindakan tegas pihak berkuasa,” katanya.

Ismail berkata, biarpun fahaman Syiah itu diharamkan, namun beliau tidak pasti sejauh mana tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka yang melanggar larangan fatwa.

“Mungkin kita boleh ambil tindakan mahkamah kepada mereka yang berkenaan kerana melanggar larangan fatwa,” katanya.

Khuatir dengan perkara itu, beliau turut menasihatkan kepada semua pengguna laman sosial khususnya Facebook supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada melihat unsur-unsur percanggahan tentang agama Islam.

“Saya tidak nafi kesannya kepada umat Islam boleh berlaku, tetapi yang menjadi persoalan adalah jumlah yang terpengaruh dengan fahaman Syiah. Kita tidak tahu ia boleh memberi kesan kecil atau besar.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan kepada pengguna laman sosial supaya lebih berhati-hati sebelum menerima sebarang ajaran baru dan bertentangan dengan ajaran Islam. Mintalah pandangan dan nasihat daripada ustaz dan pakar-pakar agama terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kepada pihak berkuasa memantau perkara itu dan ambil tindakan tegas sekiranya didapati berlaku perkara yang dilarang Majlis Fatwa Kebangsaan. - Sinar Harian


No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda