Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sony Xperia Z1, produk serba lengkap

12 Zulhijjah 1434 H
SONY Xperia Z1


Apabila Alexander Graham Bell mencipta telefon pada usia semuda 29 tahun pada 1876, beliau mungkin tidak pernah membayangkan evolusi mesin komunikasi terbabit melangkau terlalu jauh yang merubah kehidupan manusia.

Daripada telefon biasa hinggalah ke telefon bimbit kemudian hadir pula telefon pintar yang kini digunakan kebanyakan pengguna di dunia.

Pada mulanya, rekaan telefon hanya mementingkan komunikasi atau cara dua orang berhubung namun kini segalanya berubah.

Sebelum ini, ciri telefon hanya menerima dan menjawab panggilan kemudian anda boleh menaip khidmat pesanan ringkas (SMS) seterusnya bersosial di aplikasi yang memudahkan urusan harian.


TELEFON dengan kamera menakjubkan menggunakan pemprosesan imej BIONZ.


KAMERA Sony Xperia Z1 antara ciri mengagumkan.


Manakala jika bercakap dari aspek rekaan pula, anda akan mendapati perubahan ketara telefon selaras dengan penggunaan serta tabiat manusia yang mahukan fungsi berbeza maka lahirlah ciri seperti kalis air dan skrin terang.

Antara syarikat yang berjaya mengevolusikan telefon pintar sehingga menjadikannya produk lengkap bagi pengguna adalah Sony Mobile Communications (Sony) yang sudah memberi definisi baru kepada telefon pintar.

Meskipun pelbagai produk dihasilkan sebelum ini, Sony berjaya menonjolkan diri dengan Xperia Z yang dikenali sebagai telefon tahan lasak, kalis air dan dilengkapkan lensa kamera menakjubkan.

Kini, versi kedua Xperia Z iaitu Z1 diperkenalkan yang pastinya lebih membawakan inovasi terbaru selaras dengan perkembangan syarikat terbabit yang kerap membawakan teknologi baru meskipun kurang mendapat nama.

Sony Xperia Z1 membawakan inovasi kamera terus dalam telefon pintar yang menghasilkan fotografi menakjubkan tanpa perlu membawa kamera digital kompak bersama, cukup sekadar telefon sebagai peranti kamera anda.

Menurut Ketua Pasaran Sony Malaysia, Cheong Wah Tong, Xperia Z1 menjadi medan syarikatnya membawakan pengalaman yang sukar dilupakan pengguna.

“Kita menawarkan Xperia Z1 yang pasti sukar dilupakan pengguna,” katanya.

Menurutnya, ia bukan saja membawakan teknologi syarikat induk Sony dalam telefon pintar tetapi menawarkan produk yang serba lengkap.

“Kolaborasi secara menyeluruh kami dengan syarikat induk membawakan telefon yang benar-benar berkuasa tinggi,” katanya.

Xperia Z1 membawakan inovasi yang diiktiraf iaitu lensa dengan sudut lebar 27 milimeter bersama apertur F2.0 yang dioperasikan pengesan imej jenis CMOS 1/2.3 bersama resolusi setinggi 20.7 megapiksel.

Malah, lebih hebat lagi produk ini menggunakan pemprosesan imej sendiri iaitu BIONZ membolehkan teknologi sama dalam kamera kompak dibawa masuk dalam telefon yang berbentuk kompak dan nipis.

Bukan hanya cakap kosong, berdasarkan ujian badan bebas, Sony Xperia Z mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi menewaskan kebanyakan telefon pintar lain di pasaran yang jauh ketinggalan dari aspek teknologi.

Z1 merakam imej dengan cantik, terperinci dan cerah walaupun anda berada dalam persekitaran yang gelap.

Manakala ciri shutter yang laju dan zum 3x lebih baik mengelakkan foto anda menjadi kabur pada jarak tertentu.

Bukan saja mementingkan kamera, beberapa aplikasi yang sudah siap dalam Xperia membawakan kemudahan walaupun anda bukan jurugambar profesional.

Antara aplikasi tersedia termasuk Social Live yang membolehkan foto dipindahkan ke Facebook dengan pantas tanpa perlu membuka aplikasi terbabit terlebih dulu manakala Info-eye menyediakan maklumat berkaitan foto yang dirakam seperti ‘landmark’ dan sebagainya.

Ia juga menyediakan kaedah Timeshift Burst yang mana kamera akan merakam 61 imej dalam masa dua saat dengan separuh daripadanya dirakam sebelum menekan shutter memastikan anda mendapat imej yang benar-benar dikehendaki.

Selain itu, terdapat kesan AR yang membolehkan pemilihan foto dan menyuntingnya bagi menyediakan fotografi lebih ceria dibantu teknologi ‘augmented reality’ SmartARTM khas Sony kepada pengguna.

Xperia Z1 mempunyai rekaan OmniBalance yang mengandungi bahan premium dan kejuruteraan mantap di samping telefon pintar lengkap format IP55 dan IP58 bagi kemudahan kalis air dan kalis debu.

Ia beroperasi pada pemprosesan Qualcomm Snapdragon 800 2.2 GHz Quad Core CPU dan lengkap rangkaian 4G LTE yang mempunyai grafik mengagumkan.

Paling penting, Xperia Z1 menawarkan bateri 3000mAh yang menghilangkan kerisauan pengguna berkaitan pengguna bateri bagi telefon pintar.

Manakala teknologi Walkman, album dan filem yang dimasukkan bersama dan boleh diakses secara ‘online’ mahupun ‘offline’.

Skrin dan paparan Xperia Z1 menggunakan teknologi BRAVIA TV yang memuatkan paparan Triluminos untuk mudah alih khas menawarkan warna mewah termasuk X-Reality iaitu teknologi super resolusi pintar menganalisis serta mengoptimumkan kualiti bagi video terbaik.

Sony Xperia Z1 turut lengkap dengan sambungan aksesori atau peranti lain termasuk TV, fon telinga, pembesar suara, tablet dan banyak lagi.

Antara produk lain yang dipasang bersama telefon ini yang dijual pada harga RM2,399 termasuk:

1. QX10/QX100 - lensa khas untuk telefon pintar menjadikan fotografi lebih menarik.

2. Pemegang telefon IPT-DS10M - pemegang telefon digital yang mengesan wajah senyum sebelum merakam.

3. Tripod SPA-MK20M: tripod untuk telefon.

4. SmartWatch 2 - jam tangan pintar yang membolehkan anda membaca mesej, menjawab panggilan dan melihat notifikasi.

Sumber: myMetro

# SUPERB Sony Xperia Z1! muzik, TV, fotografi...lengkap.

Catat Ulasan for "Sony Xperia Z1, produk serba lengkap"