Vivian Mahu Bunuh Diri? | Video 'Regret' oleh Pasangan Alvin dan Vivian - MaisarahSidi.com

KLIK> Daftar Percuma Narratrs - Jana Income USD Menerusi Instagram

13 October 2013

Vivian Mahu Bunuh Diri? | Video 'Regret' oleh Pasangan Alvin dan Vivian

8 Zulhijjah 1434 H




SELEPAS dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kontroversi, pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang akhirnya dibebaskan dengan ikat jamin, seolah-olah "lenyap" dari dunia siber yang menjadi "pemusnah" kepada kehidupan mereka selama ini.

Namun dua hari lalu, pasangan yang menggelarkan diri sebagai Alvivi ini kembali muncul dengan sebuah klip video pendek berjudul "Regret".

Klip video yang berdurasi satu minit lima puluh sembilan saat itu memaparkan Vivian yang mengenakan gaun putih dengan ekspresi wajah penuh emosi.

Klip video yang ditulis dan diarahkan sendiri oleh Alvin ini seolah-olah menunjukkan kekesalan watak dalam klip ini yang dilakonkan oleh Vivian dengan apa yang telah dilakukan selama ini.

"Saya fikir susah menjadi orang dewasa..., apabila saya mengikut kata hati saya, semua orang mengatakan saya salah," antara skrip yang dilontarkan dalam klip video itu.

Sebelum itu, klip video memaparkan bagaimana kehidupan Vivian ketika dia kecil, di mana dia diajar untuk mengejar cita-cita, yakin dengan diri sendiri, bersuara lantang namun semua itu berbeza apabila usianya menginjak dewasa.

Menurut klip video itu, semuanya berubah dan orang mula membenci apabila dia cuba menjadi dirinya dan melakukan apa yang dia rasakan betul sehinggakan orang yang disayang juga enggan menyayanginya lagi.

"Sebenarnya saya penat, mereka menang, saya kalah....," ujar Vivian dalam nada penuh kesah.

Babak akhir pada klip video itu menunjukkan Vivian mengelar lengannya dan menamatkan "perjuangannya".

"Mungkin ini adalah masa untuk menamatkan perjuangan bermakna saya sekaligus... hanya dengan satu tindakan segera," katanya lagi yang dipetik dalam klip video yang dimuatnaik di YouTube pada Rabu lalu.

Sehingga hari ini video itu sudah disaksikan lebih 60,000 pengunjung YouTube.

Pasangan bloggers seks, Alvivi sebelum ini ditahan selama lapan hari atas kesalahan mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi telah membenarkan Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee May Ling, 24, diikat jamin bersyarat, selepas membuat semakan kehakiman mengikut Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323(1) Kanun Acara Jenayah.

Pasangan itu dilarang memuat naik sebarang artikel, komen dan penulisan menghasut serta memuat naik gambar lucah dan jelik yang boleh menimbulkan unsur perkauman dan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin turut mengenakan syarat kepada kedua tertuduh iaitu mereka perlu menyerahkan pasport, dilarang menggunakan peranti komunikasi rangkaian yang boleh diakses kepada Internet dan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan.  - Sinar Harian.


# Moga mereka mendapat hidayah dari al-Khalik. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda