Awas, Jangan Terjebak dengan Dosa Siber - MaisarahSidi.com Awas, Jangan Terjebak dengan Dosa Siber

Awas, Jangan Terjebak dengan Dosa Siber

Dosa Siber, apakah ia?


Media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain lagi memberikan banyak faedah kepada kita jika digunakan dengan betul. Ada yang menjadikan medium ini untuk menjalankan aktiviti perniagaan, mencari kenalan lama dan juga menambah kenalan, menyebarkan sesuatu perkara yang baik seperti dakwah, ilmu dan sebagainya lagi.

dosa siber
Foto Google

Tapi tak kurang juga yang menyebarkan perkara yang tak baik. Meluahkan sesuatu dengan kata-kata yang tak baik, memberi komen negatif dan lain-lain. Semakin banyak. Perkara baik kalau viral, tak mengapa. Tapi kalau yang buruk... macam-macam pandangan orang bagi. Bagaikan ruangan kebebasan bersuara. Sampai boleh mencetuskan pergaduhan dan aktiviti umpat mengumpat, kutuk, caci maki... siap screenshot lagi tu untuk buat 'rujukan' ramai.

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman ada berkongsi di akaun Facebook beliau tentang dosa siber. Berikut adalah perkongsian ustaz tentang perkara tersebut...

Antara DOSA SIBER yang meriah hari ini adalah screen capture facebook orang yang sedang mengata, mengumpat dan mengutuk seorang yang lain, kemudian diberikan screen capture itu kepada yang dikutuk agar bertindak balas atau kononnya 'membantu' mangsa. Itu sebenarnya namanya 'Nammam' atau juga 'Qattaat' iaitu pengadu domba yang dosa. Nabi sebut ( لا يدخل الجنة نمام) ertinya "Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba". (Hadis sohih riwayat Muslim)

Moral : Jika sekadar seorang umpat, kutuk dan mengata, JANGAN sebarkan khususnya kepada mangsa. Nasihatilah pengumpat dan pengutuk itu sebaiknya, itu cukup. Selanjutnya balasan kelak nanti di barzakh dan akhirat. Pahalanya juga akan diberikan kepada mangsa.

Namun jika seorang memfitnah atau mencipta cerita bohong terhadap seseorang, itu barulah boleh 'screen capture' dan diserahkan kepada mangsa untuk tindakan lanjut yang sesuai seperti saman.

Kalau ada sesiapa yang benar-benar salah dan mendedahkannya hingga boleh menyesatkan, boleh screen capture dan disertai dengan nasihat dengan adab dan baik sebagai panduan orang awam bukan dengan cercaan dan caci serta kutuk.


Begitulah sedikit perkongsian daripada Ustaz Dr. Zaharuddin tentang dosa siber. Nampak mudah je kan. Tapi boleh memberikan impak negatif yang besar. 


Imam Al-Ghazali memberi sebuah nasihat: 

“Barangsiapa yang tidak dapat memelihara penglihatannya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga nafsunya. 

Dan barangsiapa yang tidak dapat menjaga nafsunya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga hatinya. 

Dan barangsiapa yang tidak dapat menjaga hatinya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga lidahnya. 

Dan barangsiapa yang tidak dapat menjaga lidahnya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga akhlaknya. 

Dan barangsiapa yang tidak dapat menjaga akhlaknya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga agamanya. Dan barangsiapa yang tidak dapat menjaga agamanya, maka layaklah neraka ke atasnya.” 

[ Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali ]


Sebelum jadi keyboard warrior yang tak bertauliah, elok pandang diri sendiri dulu. Jangan asyik mencari kesalahan orang lain. Jangan mudah buruk sangka tentang seseorang kerana kita bukan tuhan yang berhak untuk mengadili makhluk-Nya.

Kongsi sesuatu yang bermanfaat di media sosial. Lagi banyak berkongsi perkara baik, makin ramai yang akan dapat manfaat daripadanya. Senang je kan?


Sejauh manapun manusia mengejimu,
Sejauh manapun manusia memujimu,
Tidak bererti jika tiada ikhlas dihatimu,
Tanya saja dirimu, siapakah aku disisi Tuhanku? Apakah tujuan hidupku?
Masa berlalu, laju laju laju tinggalkan aku!


Catat Ulasan

2 Ulasan

Terima kasih atas komen anda. Live link tidak dibenarkan sama sekali, jika didapati anda berbuat demikian, komen akan dibuang serta merta. Harap maklum ;)