Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Azab dan Nikmat Dalam Kubur

Dalil-Dalil Adanya Azab Dan Nikmat Dalam Kubur


Dalil-dalil daripada al-Qur’an.


Pertama:

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya". [al-An‘aam 6:93]

Ungkapan pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina… mengandung makna azab ketika akan mati atau azab di dalam alam Barzakh. Ini kerana seandainya yang dimaksudkan dengan azab pada ayat di atas adalah selepas Hari Kiamat maka sudah tentu ia tidak disebut sebagai pada hari ini kamu dibalas.

Kedua:

Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” [al-Mukmin 40:45-46]

Allah Subhanahu wa Ta‘ala memperlihatkan (mendedahkan) azab kepada Firaun dan pengikutnya pagi dan petang lalu kemudian menyiksa mereka dengan azab yang keras setelah kiamat. Ini bermakna azab sebelum kiamat itu adalah azab kubur dan bukan azab di akhirat (neraka) mahupun di dunia. Ini kerana:

  1. Azab tersebut berlaku sebelum kiamat.

  2. Di alam akhirat tidak ada pagi dan petang.

  3. Azab tidak diperlihatkan (‘aradh) kepada Fir’aun di dunia.

  4. Ayat ini untuk umum tidak hanya khusus untuk Fir’aun dan pengikutnya saja. (Kaedah Ilmu Tafsir)


Ketiga:

Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan, kemudian dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan). [Nuh 71:25]

Ayat ini menyatakan azab yang ditimpakan ke atas orang-orang dari umat Nabi Nuh ‘alaihissalam. Setelah mereka ditenggelamkan kerana kesalahan-kesalahan mereka (مما خطيئاتهم أغرقوا) lalu Allah sambung dengan (فأدخلوا نارا)kemudian dimasukkan ke dalam neraka. Maksud neraka di sini ialah azab di alam Barzakh dan bukan di alam setelah Kiamat sebab kata sambung (‘ataf) yang digunakan dalam ayat di atas adalah huruf (الفاء) = (فأدخلوا). Menurut kaedah bahasa Arab, kegunaan kata sambung (الفاء) mengandung makna tertib yang dekat bukan berselang lama. Kaedah tersebut dalam bahasa Arab disebut:

أنَّ الْعَطْفَ بِالْفَاءِ يَقْتَضِى التَّرْتِيْبَ مَعَ التَّعْقِيْبِ مِنْ غَيْرِ تَرَاخٍ

Atas dasar kaedah ini maka maksud ayat di atas adalah, umat Nuh yang derhaka itu dimasukkan terus ke dalam neraka setelah mereka ditenggelamkan tanpa menunggu lama. Demikianlah menurut zahir ayat. Ia tidak bermaksud azab api neraka setelah Hari Kiamat kerana azab tersebut masih lama setelah kejadian taufan Nabi Nuh a.s.


Keempat:

Bermegah-megahan telah melalaikan kamu , sampai kamu masuk ke dalam kubur. [al-Takaathur 102:1-2]

Diriwayatkan bahawa 'Ali radhiallahu 'anh berkata:

Kami masih meragukan akan adanya azab kubur sehingga turunlah ayat ini.

(Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Tafsir, no: 3413)


Kelima:

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. [Ta-Ha 20:124]

Imam Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat di atas mengemukakan sebuah hadis daripada Abi Hurairahradhiallahu 'anh bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkata tentang firman Allah: (فإن له معيشة ضنكا) maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, maksudnya adalah azab kubur. Berkata Imam Ibn Katsir setelah itu: “Isnadnya jayyid (baik).”


sedikit ilmu yang ingin dikongsi bersama ..moga dapat dijadikan rujukan bersama.


kredit kepada :

http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah1/chapter1%20dalil%20alquran.htm

Catat Ulasan for "Azab dan Nikmat Dalam Kubur"