Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sains rungkai alam mistik

UNSUR tahyul atau bantuan dari alam ghaib sering menjadi kisah penceritaan menarik di kalangan masyarakat Asia yang majoritinya masih berpegang kepada kepercayaan itu.
Namun, benarkah keajaiban itu boleh berlaku dalam hidup seseorang terutama pada zaman moden ini atau ada penjelasan logik di sebaliknya?

Isu membabitkan alam mistik dan kecanggihan sains sering bercanggah apabila diperdebatkan. Justeru, dua sahabat - Dr Indre Viskontas dan Randall Sullivan - nekad menyingkap kisah misteri yang menentang aspek logika yang diperoleh hasil penjelajahan ke seluruh Amerika Syarikat.

Sullivan lebih berpegang kepada kepercayaan mistik terutama selepas mengalami detik yang sukar ditafsirkan tatkala bertugas sebagai wartawan perang di Bosnia.

Dr Indre, saintis berkelulusan PhD dalam kognitif sainsneuro di UCLA pula menyelami elemen ghaib ini dengan titik pandangan skeptikal dan berasa apa yang berlaku ada penjelasan saintifik.

Menerusi siri baru Discovery Channel, Miracle Detectives, Dr Indre dan Sullivan melawat tapak kejadian dan menyelidik cerita pelik. Antaranya, ada lelaki yang mendakwa mempunyai visi pandangan seperti imbasan sinaran-X serta mampu mendiagnosis penyakit serta sepasang suami isteri yang percaya anak lelaki mereka yang masih kecil adalah jelmaan semula juruterbang Perang Dunia Kedua.

Miracle Detectives menemui penonton di saluran Astro 551 pada setiap Rabu jam 10 malam manakala ulangannya pada setiap Khamis (9 pagi dan 3 petang) serta Ahad (12 tengah malam).

Wartawan, Nor Faizah Mohamed (faizah@hmetro.com.my) berpeluang berbual panjang bersama Dr Indre ketika mempromosikan Miracle Detectives, baru-baru ini.

SOALAN (S): Isu yang membabitkan aspek mistik dan ketuhanan sentiasa menjadi perbahasan yang membawa kepada kontroversi, juga spekulasi. Tidak semua masyarakat boleh menerima konsep sains dalam aspek ini. Bagaimana anda menanganinya?
DR INDRE VISKONTAS (IV): Banyak perkara lain dalam hidup yang kekal misteri walaupun kita cuba bermacam-macam cara untuk merungkaikannya.

Ada beberapa elemen dalam hidup saya yang didapati ajaib atau misteri. Tapi itu tidak bermakna ia bukti kepada kewujudan kuasa ajaib atau perkara paranormal. Jadi, saya berpegang kepada prinsip itu ketika melakukan kajian misalnya Tuhan menghantar mesej menerusi gambarajah malaikat kepada seseorang yang pasti ada penjelasan konkrit untuk saya kaji.

Bagaimanapun, saya tidak mengatakan seseorang itu tidak boleh membuat andaian masing-masing kerana ia bergantung kepada pandangan serta tempoh ia berlaku. Ramai antara kita percaya Tuhan bekerja dengan cara penuh misteri.

Jadi, walaupun kita mempunyai sedikit penjelasan terhadap setiap aspek fizikal mengenai apa yang berlaku, hakikatnya ia mungkin petunjuk bagi sesetengah orang. Hidup kita sentiasa dipenuhi saat sukar dan menggembirakan.

Sepanjang mengharungi hidup ini, kita mencuba pelbagai cara untuk mengatasi masalah yang berlaku dan manusia lazimnya meraih kekuatan mental dengan mempercayai kuasa luar biasa ini apabila menghadapi kesukaran dalam hidup.

S: Kebanyakan masyarakat Asia masih berpegang kuat kepada kepercayaan purba dan ritual misteri. Adakah anda rasa siri Miracle Detectives ini boleh memberi manfaat kepada komuniti di benua ini?

IV: Sudah tentu! Lagipun saya teruja apabila siri ini disiarkan di Asia kerana saya rasa masyarakat Asia pasti tertarik dengan kisah misteri yang dipaparkan.

Walaupun saya pasti mereka tidak akan bersetuju dengan pandangan saya, dalam beberapa cara ia mampu menjadikan kisah ini lebih menarik jika dilihat dari sudut pandangan berbeza.

Saya terima banyak maklum balas daripada penonton dan sebahagiannya tidak berkongsi kepercayaan dengan saya. Ramai yang benar-benar percaya dengan teori Sullivan, tapi pada masa sama, mereka turut mengatakan perspektif saya berjaya membuatkan mereka melihat satu-satu perkara itu dengan cara berbeza.

Sebagai manusia, kita berterusan tertarik untuk mempelajari perkara baru dan memperoleh maklumat terkini. Disebabkan itu apabila kita bosan, ia akan memberikan kesan tidak selesa pada diri. Atas faktor itulah kami sentiasa memeriksa e-mel dan menyertai banyak laman sesawang sosial di Internet untuk mencari maklumat baru.

Jadi dalam kes ini, topik yang kami kemukakan adalah konsep baru untuk penonton Asia. Kisah yang dipaparkan juga semuanya positif sebenarnya kerana hidup mereka yang mengalami perkara mistik ini berubah menjadi lebih baik.

Kami gembira dapat menceritakan semula kisah itu dalam konsep berbeza dan tidak banyak program di televisyen yang benar-benar memberi fokus kepada aspek positif dalam penceritaannya.

S: Salah satu kes paling menarik pastinya berkaitan dengan rakan anda, Sullivan. Ketika bertugas di Sarajevo, dia mendapati dikelilingi biarawati yang memintanya berdoa bersama-sama mereka. Apabila Sullivan membuka matanya selepas berdoa, tiada seorang pun biarawati yang kelihatan di lokasi terbabit.Apa pendapat anda mengenai situasi itu? Adakah anda berdua membincangkannya sepanjang program ini?

IV: Kami tidak berpeluang membincangkannya di depan kamera, tapi kami berharap dapat melakukannya dalam episod akan datang apabila kami dapat ke Bosnia dan melihat lokasi itu.

Tapi, kami banyak membincangkannya di luar kamera. Menariknya, bagaimana seseorang seperti Randall Sullivan yang mulanya tidak percaya dengan perkara misteri, terus mengubah perspektif pandangannya selepas berdepan pengalaman itu.

Lalu pengalamannya itu dijadikan panduan ketika kami mengkaji kisah dalam program ini dan saya merasakan perspektifnya benar-benar unik. Secara peribadi, adakah saya mempercayai kisah ini? Saya tidak berminat untuk mengeluarkan pendapat sehingga saya berpeluang untuk menyiasatnya secara mendalam.

S: Banyak momen menarik dirakam sepanjang anda dan Sullivan terbabit dalam siri ini. Bagaimana anda berdua memilih atau menentukan bahagian yang penting untuk dipertontonkan di televisyen dalam tempoh yang singkat?

IV: Itu salah satu cabaran sepanjang rakaman program ini kerana setiap aspek amat kompleks tetapi perlu diceritakan kepada penonton. Kami sering mulakan proses pemilihan rakaman dengan subjek yang menceritakan pengalaman mereka.

Selepas mengetahui apa yang berlaku, saya dan Sullivan melakukan penyelidikan secara berasingan bagi menjimatkan masa. Sullivan lebih mengikut gerak hatinya dan berbincang dengan ahli teologi atau sesiapa yang lebih berminat dengan elemen paranormal.

Saya pula mengadakan eksperimen saintifik atau berbincang dengan pakar dalam bidang terbabit. Contohnya, jika seseorang terbabit dalam kemalangan, saya berbincang dengan doktor mereka atau doktor lain yang tahu mengenai perkara itu atau bertemu jurutera yang boleh membantu saya mencipta semula kemalangan itu.

Cara itu membolehkan kami mengumpul seberapa banyak maklumat dan membincangkannya ketika bertemu semula.

S: Anda boleh dikatakan kuat bekerja dan berfikir tanpa henti bagi mendapatkan jawapan kepada kisah itu. Jadi, boleh ceritakan sedikit mengenai diri anda sebagai Indre dan bukannya Dr Indre?

IV:
Saya tinggal di San Francisco bersama suami dan kami tinggal berjauhan daripada ahli keluarga yang lain. Jadi, kami berusaha keras membina hubungan komuniti dan persahabatan di sekitar kediaman kami.

Disebabkan saya banyak keluar negeri atas dasar tugas, saya dan suami lebih suka habiskan masa di bandar berhampiran apabila tidak bekerja dan menikmati segala yang ditawarkan San Francisco.

Banyak masa terluang saya juga dihabiskan dengan menyanyi dan mengadakan persembahan di pentas opera. Saya sukakan muzik dan kisah menarik di sebalik pementasan opera. Kesimpulannya, kebanyakan masa saya dihabiskan kerana kerja atau bersama suami dan teman rapat.

p/s : jangan bio kan idup kome diselubungi misteri . . .   (:

Catat Ulasan for "Sains rungkai alam mistik"