Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pentingnya Mengetahui Keputusan Peperiksaan Pelajar dengan SAPS Ibu Bapa

Kepentingan SAPS Ibu Bapa


Keputusan peperiksaan pelajar sangat penting kepada ibu bapa. Ini kerana ibu bapa dapat mengetahui prestasi anak-anak mereka dalam pelajaran di sekolah dengan keputusan tersebut. Kini, ibu bapa lebih mudah untuk menyemak keputusan peperiksaan anak-anak dengan adanya SAPS Ibu bapa.

SAPS Ibu Bapa

Apa itu SAPS?


SAPS merupakan singkatan bagi Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah. Menurut sistemkpm.com, SAPS adalah satu sistem online yang diwujudkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyimpan data-data peperiksaan sekolah di seluruh Malaysia. Sistem ini boleh memudahkan ibu bapa dan pelajar membuat semakan tentang keputusan peperiksaan, serta guru untuk memasukkan markah peperiksaan secara online. Sistem SAPS juga boleh diakses dan digunapakai oleh pihak sekolah, KPM, JPN dan PPD.


Kenapa SAPS Ibu Bapa Penting?


Sebelum SAPS Ibu Bapa diaplikasikan seperti sekarang ini, keputusan peperiksaan pelajar direkodkan dalam buku laporan kemajuan pelajar. Buku inilah yang akan diberikan kepada ibu bapa untuk menyemak keputusan peperiksaan anak-anak mereka. Adakalanya sekolah mengadakan sesi menandatangani buku laporan pelajar dengan ibu bapa. Ada juga yang diberikan terus kepada pelajar untuk diberikan kepada ibu bapa bagi menyemak keputusan peperiksaan. Tetapi bagaimana jika ibu bapa tidak dapat menghadirkan diri pada sesi tersebut? Bagaimana jika ada pelajar yang tidak memberikan buku laporan kepada ibu bapa kerana takut dimarahi atau ada yang meniru tandatangan ibu bapa?

SAPS Ibu Bapa

Di sini kita nampak kepentingannya. Pelajar tidak mudah untuk menipu ibu bapa mereka tentang keputusan peperiksaan di sekolah dengan adanya SAPS Ibu Bapa. Ibu bapa juga dapat memantau keputusan dan prestasi pelajar dengan lebih senang dan efektif. Jika keputusan peperiksaan pelajar tidak memberangsangkan, inilah masanya untuk ibu bapa bertanya dengan anak mereka tentang masalah yang dihadapi serta cara untuk mengembalikan semangat meraka belajar di sekolah.

Selain itu, pelajar juga boleh terus membuat semakan keputusan peperiksaan mereka tanpa perlu menunggu lama daripada guru untuk mendapatkannya.

Mudahnya zaman sekarang ini bukan? Nak semak keputusan peperiksaan anak-anak pun online sahaja. Hanya beberapa saat, ibu bapa dapat mengetahui keputusan penuh peperiksaan anak-anak.


Cara Menggunakan SAPS Ibu Bapa


Untuk pengetahuan anda, SAPS Ibu Bapa ini dapat menyemak keputusan yang melibatkan pelajar sekolah rendah dari darjah 1 hingga darjah 6 serta pelajar sekolah menengah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Melalui SAPS, ibu bapa dapat mengetahui keputusan peperiksaan anak-anak seperti Ujian 1 dan 2, Peperiksaan pertengahan tahun, Peperiksaan akhir tahun dan Peperiksaan percubaan kecuali peperiksaan awam seperti UPSR, PT3 dan SPM.

Apa yang ibu bapa perlu ada untuk mengetahui keputusan peperiksaan melalui SAPS Ibu Bapa ialah komputer atau telefon pintar dan juga capaian internet. Ramai ibu bapa yang sudah tahu cara-cara untuk menggunakan SAPS Ibu Bapa. Tapi mungkin juga, ada segelintir ibu bapa yang masih belum tahu cara menggunakannya. Jangan risau, mudah sahaja. Ikuti langkah-langkah di bawah ini.

Langkah-langkah membuat semakan keputusan peperiksaan pelajar.

1. Layari laman SAPS Ibu Bapa: https://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/. Kemudian akan keluar seperti paparan di bawah ini.

SAPS Ibu Bapa

2. Isi maklumat lengkap pelajar yang diperlukan seperti Nombor IC atau Sijil lahir, Negeri, Nama sekolah dan tahun.
3. Klik Semak.
4. Klik Papar Slip Keputusan atau Papar Markah Keputusan.

Seterusnya sistem akan memaparkan slip keputusan peperiksaan pelajar dengan terperinci termasuk markah setiap subjek, kedudukan dalam kelas dan tingkatan. Slip ini boleh dicetak untuk simpanan jika anda mahu.

Sekiranya anda menghadapi masalah seperti nombor IC pelajar tidak dapat disemak, ibu bapa harus menghubungi dan memaklumkan perkara ini kepada guru kelas pelajar berkenaan. Kejadian ini biasanya berlaku disebabkan kesalahan pengisian nombor IC di APDM.

Mudah bukan? Kini, segalanya di hujung jari anda. Manfaatkan penggunaan SAPS Ibu Bapa sebaiknya. Semoga perkongsian kali ini memberi sesuatu yang berharga kepada kita semua.


2 ulasan for "Pentingnya Mengetahui Keputusan Peperiksaan Pelajar dengan SAPS Ibu Bapa"

  1. Bagus aplikasi SAPS ni
    Ibu bapa boleh tahu keputusan pep anak2 secara online.

    BalasPadam