Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kerepek Pisang Rangup Buat Sendiri, Sampai Ketagih Mengunyah

Cara Buat Kerepek Pisang



Sedapnya kerepek pisang! Ia antara kerepek yang menjadi kegemaran Mai. Kalau buat makan sambil menonton televisyen, tak sedar sudah habis sebalang hehe. Ia juga menjadi pilihan ramai ketika hari raya. Cepat saja habis apabila dihidang.

cara buat kerepek pisang


Di Kuala Kangsar, ada satu gerai menjual kerepek pisang yang sedap rasanya. Ada di lembah Kuala Kangsar, berdekatan dengan kedai makan ikan bakar. Kira sedaplah di tekak Mai sebab hirisannya nipis sekata dan secukup rasa. Selalu juga membeli di situ. Sedap memang sedap. Kalau asyik membeli saja, masak juga poket dibuatnya. Nak juga berjimat kan. Disebabkan itu, Mai cuba buat kerepek pisang sendiri.

Sebenarnya mudah saja untuk buat kerepek pisang. Bahan utama yang perlu ada sudah tentu buah pisang. Tapi bukan semua pisang boleh dibuat kerepek ya. Ada beberapa jenis pisang saja yang sesuai untuk dibuat kerepek. Antaranya, Pisang Abu, Pisang Tanduk, Pisang Awak, Pisang Nangka dan lain-lain lagi.

RESEPI HOTCara Buat Kerepek Popia Cheese Pedas

Beberapa jenis pisang memang ada ditanam sendiri berdekatan rumah Mai. Jadi, mudah untuk dapatkan sumber bahan utama iaitu pisang.

Mai mula mencuba buat sendiri kerepek pisang dengan sesikat pisang abu muda yang matang. Maksudnya tidak terlalu muda dan bukan yang sudah masak ranum. Kebetulan pisang tersebut baru saja diambil dari pokok. Jika betul pilihannya, InsyaAllah menjadi dan sedap hasil kerepek nanti.

Prosesnya dimulakan dengan mengupas kulit pisang. Mai tak suka betul proses yang satu ni sebab agak leceh hihi. Kena kupas satu demi satu kulit pisang. Kulit pisang juga agak melekat dengan isi. Nak tak nak memang kena buat juga, kalau tak memang tak dapatlah isinya kan hehe. Kemudian, pisang direndam dalam besen bersaiz sederhana berisi air.

Ok, jom mula buat...

Resepi Kerepek Pisang


Bahan-bahan:

Pisang Abu Muda
Marjerin
Garam
Minyak untuk menggoreng secukupnya

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit pisang kemudian rendam seketika dalam besen berisi air.
2. Kemudian, sagat buah pisang menggunakan penyagat yang sesuai. Anda boleh sagat mengikut bentuk dan rupa kerepek kesukaan anda seperti bulat atau melintang panjang.
3. Letakkan pisang yang telah disagat dalam besen penapis supaya dapat toskan lebihan air.
4. Panaskan minyak banyak di dalam kuali.
5. Setelah minyak panas, kecilkan api dapur. Masukkan sesudu marjerin ke dalam minyak dan biarkan mencair. Kemudian masukkan pula sedikit saja garam dan kacau.
6. Selepas itu, masukkan pisang yang telah disagat ke dalam kuali. Jangan masukkan terlalu banyak kerana pisang mudah melekat dan susah untuk mengasingkannya setelah ia melekat terlalu banyak. Jika ada yang melekat, pisahkannya dengan sudip.
7. Kacau perlahan supaya masak sekata.
8. Jika sudah masak kuning keemasan, angkat dan toskan dengan meletakkannya dalam penapis.
9. Biarkan sejuk seketika, kemudian simpan dalam balang.
10. Ulang langkah 6 hingga 9 sehingga pisang habis. Tambah minyak kalau makin berkurang. Tambah juga sedikit marjerin dan sedikit garam selepas beberapa kali ulang menggoreng.

Kalau anda tak mahu rasa masin, tak perlu letak garam juga boleh. Goreng dengan sedikit bawang putih juga sedap rasanya.

resepi kerepek pisang

Kini, kerepek pisang dipelbagaikan lagi hasilnya dengan disaluti sira, serbuk keju, serbuk coklat dan gula aising. Sedap juga rasanya. Pandai betul mereka mengolahnya supaya rasanya menjadi unik. Anda juga boleh mempelbagaikan cara hidangan dengan buat begitu.

Bila dah pandai buat sendiri ni, bolehlah buat bila-bila masa saja kan. Nak jana pendapatan sampingan juga boleh hehe. Selamat mencuba ye.


2 ulasan for "Kerepek Pisang Rangup Buat Sendiri, Sampai Ketagih Mengunyah"

  1. Rajinya Sarah.. meh hantar sini sikit.. hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau ada pisangnya, suka juga buatnya hehe

      Padam