Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Masuk Wad Kerana Demam Panas dan Gastritis Menyerang

Demam Panas dan Acute Gastritis



Ramadhan sudah berlalu, Syawal pula menggantikan tempatnya. Tapi kenangan Ramadhan tahun ini, pasti ada yang tidak dapat dilupakan. Salah satu daripadanya, masuk wad kerana demam panas dan gastritis.

gastritis


Puasa Ramadhan hari ke-23 (16 Mei 2020), Alhamdulillah rasa sihat dan mampu menjalani rutin harian seperti biasa pada siang harinya. Setelah beberapa minit selesai saja menjamah hidangan berbuka puasa bersama keluarga, dengan tiba-tiba saja, badan menggigil dan mula berasa kesejukan. Terus Mai menuju ke katil dan berselimut. Badan makin sejuk pula.

Mai dapat rasa, badan mulai berasa panas. Kemudian, cepat-cepat suhu badan diperiksa menggunakan termometer digital. Ketika itu baru menjangkau 37.5C. Mai ambil keputusan untuk berehat seketika dengan berbaring. Tapi rasa sangat tidak selesa. Sampai menangis dibuatnya. Tiba-tiba emak datang menjenguk ke bilik, lalu nampak Mai sedang menangis.

Apa lagi, emak pun tanyalah sebabnya. Kemudian merasa dahi dengan belakang tangannya. Termometer digital diambil untuk memeriksa semula suhu badan. Sudah naik 38C ! Lama juga Mai berselimut tapi rasa masih sama. Sejuk di dalam dan panas terasa pada kulit. Jadi, Mai ke bilik air untuk mandi lalu tidur merehatkan diri. Harapnya, demam beransur pergi.

Keesokan harinya (17 Mei 2020), Mai bangun pada jam 6 pagi kemudian tertidur semula kerana badan sangat lemah. Terdengar emak dan abah yang berada di ruang tamu sedang berbincang untuk bawa Mai ke hospital. Oh ya, waktu ini hari keempat 'datang bulan'. Jam 11 pagi, suhu badan diperiksa lagi. Sudah mencecah 38.5C! Mai dipaksa bangun dan mandi. Ketika sedang mandi, tiba-tiba perut mula sakit mencucuk-cucuk. Bukan sakit senggugut, Mai dapat rasakan perbezaan sakitnya. Perut terasa pedih sangat sampai tidak boleh berdiri tegak sambil menangis meneruskan mandi. Selesai itu, terus Mai ambil dua keping roti untuk dimakan dengan harapan sakit perut hilang. Ingatkan sebab lapar. Namun sakitnya tidak hilang juga. Maka, cepat-cepat bersiap ke hospital.

Sampai saja di hospital, terus mendaftar diri lalu dimasukkan ke wad kecemasan dan berbaring di atas katil. Ketika itu, badan sangat lemah. Setelah diperiksa oleh doktor, Mai dicucuk branula merah jambu dan dimasukkan cecair ke dalam badan oleh jururawat. 

gastrik, demam panas
Badan lemah sangat masa ni


Kemudian diberi makan Paracetamol. Nak cari urat pun susah untuk masukkan branula dan ambil sampel darah, nampak sangat kurang minum air kosong huhu. Mula-mula tangan kanan dicucuk, tak lepas.. tangan kiri pula. Tahan sajalah sakitnya.

Selepas itu, X-ray untuk paru-paru dan perut, sampel darah dan air kencing juga diambil. Jantung pula diperiksa menggunakan peralatan khas. Kemudian sambung lagi drip. Lama juga proses ini. Sehingga hampir waktu berbuka! Emak dan abah pulang ke rumah dahulu untuk berbuka. Mujur jarak hospital dan rumah hanya beberapa kilometer saja.

Kira-kira jam 6 petang, doktor memberitahu yang Mai perlu dimasukkan ke wad untuk 'menyiasat' sakit apa yang sedang Mai alami. Nak tak nak, terpaksa jugalah ikut kata doktor. Setelah borang siap diisi, sebelum jam 7 petang, Mai dibawa masuk dengan menggunakan kerusi roda ke wad perempuan. Dapatlah katil nombor 1. Ramai juga pesakit yang ada dalam wad itu. Tidaklah takut sangat rasanya hehe.

gastritis, demam panas
Dalam wad, masuk antibiotik saja melalui ini. Kuning tu penutupnya.


Alhamdulillah, Mai sangat berpuas hati dengan rawatan yang diberikan oleh Hospital Kuala Kangsar. Antibiotik dimasukkan melalui branula sebanyak dua kali. Mai diberikan ubat biji Potassium Chloride yang berwarna kuning rasa masin, antibiotik, antasid dan tablet Pantoprazole (Peptic Ulcer dan Gastro-Oesophageal Reflux) mengikut waktu yang ditetapkan. 

ubat gastritis


Ketika doktor datang membuat pemeriksaan, baru tahu yang Mai kena gastrik atau istilah yang lebih tepat adalah Acute Gastritis (berlaku secara tiba-tiba) setelah diberitahu. Sakit rasanya bila kena.

Di wad, jam 1.15 pagi Mai dikejutkan untuk makan ubat. Kemudian jam 4.45 pagi dikejutkan lagi untuk makan ubat lagi, sampel darah diambil dan tekanan darah diperiksa. Fuhh.. waktu begitu pun kena makan ubat dan lain-lain lagi. Kalau di rumah, waktu makan ubat pun ikut suka je. Elok juga tinggal di wad, terjagalah juga waktu makan ubatnya. Kiranya, tiga hari jugalah Mai berada di wad. 19 Mei 2020 dah boleh discaj. Tak mahulah beraya dalam wad heee.


discaj wad
Alhamdulillah.. dah boleh balik!


Pertama kali merasa sakit gastrik ini. Mai sendiri perasan diri sendiri kurang selera 1-2 minggu sebelum dapat sakitnya. Bukan 'cut' makan tapi betul-betul kurang selera. Entahlah.. mungkin berpunca kerana stress, banyak fikir nak buat itu ini... kadang-kadang tidur lambat dan bangun awal. Sampai makan minum pun tak ikut waktu.

Nak kata tak bangun sahur ketika sebulan berpuasa, tidak juga. Alhamdulillah setiap hari tidak terlepas waktu sahur. Mungkin ia dah lama terjadi, tapi baru sekarang rasa sakitnya.

HOTJangan Terlebih Minum Air Putih, Bahaya!

Selepas ini, kena buat jadual untuk makan nampaknya supaya cukup pengambilan makanan dalam sehari. Letak besar-besar lekat pada dinding supaya tak lupa waktu makan hehehe. Serik dah kena sakit begini sampai masuk wad. Tak mahu ulang lagi sakit yang sama. Doktor yang merawat juga menasihatkan supaya tidak mengambil makanan pedas.

Semua ini jadi pengajaran supaya lebih bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Wajib jaga dan sayang diri sendiri. Yelah, kalau bukan kita sendiri yang jaga, siapa lagi kan? Ubah gaya hidup kepada yang lebih sihat, amalkan pemakanan seimbang serta melakukan senaman yang secukupnya dalam seminggu.


2 ulasan for "Masuk Wad Kerana Demam Panas dan Gastritis Menyerang"

  1. moga Mai sihat dan jangan pula terambil makan pedas tau.
    akak pernah kena gastrik dulu..Ya Allah pedihnya memang tak boleh bawa bincang sampai kena masuk hospital sbb muntah2..mulanya doktor ingatkan appendik...hampir nak kena op...

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah. so glad you're okay. take care and stay safe ^^

    BalasPadam