Kek Marjerin Cip Coklat Sedap dan Gebu
Kek Marjerin Cip Coklat Sedap dan Mudah
Kek marjerin ini rasanya ramai yang tahu resepinya. Resepi kek kampung je.. tapi sedap! Kek ini menjadi salah satu kek kegemaran. Rasa kek marjerin ini memang menggamit memori ketika waktu kecil dulu. Mak saudara selalu membuat kek ini menggunakan ketuhar manual, yang menggunakan api di bawahnya. Walaupun menggunakan ketuhar itu, kek buatannya selalu menjadi.
Mai fikir, kalau tambah cip coklat dalam kek ini tentu akan jadi lebih sedap. Betul, bertambah sedap rasanya dengan adanya cip coklat. Dengan syarat, kurangkan gula dalam kek. Kalau tidak, jadi manis sangat pula nanti keknya.
Resepi kek marjerin ini Mai rujuk di sebuah akaun Instagram yang berkongsi resepi kek, kredit kepada Suisan Alizsha untuk resepi ini.
Jom buat kek marjerin cip coklat!
Resepi Kek Marjerin Cip Coklat
1 cawan marjerin
1/2 cawan gula kastor
2 cawan tepung gandum - beli tepung gandum secara online di sini
1 sudu kecil baking powder
3 biji telur Gred A
1 sudu teh esen vanila
2 sudu besar susu pekat
1 cawan cip coklat - beli cip coklat secara online di sini
* Marjerin boleh digantikan dengan mentega jika mahu
Cara membuatnya:
1. Ayak tepung gandum bersama baking powder. Ketepikan sebentar.
2. Pukul marjerin, gula kastor dan esen vanila sehingga putih gebu dan kembang.
3. Selepas itu, masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul sehingga betul-betul kembang dan sebati.
4. Setelah adunan kembang dan gebu, masukkan susu pekat dan putar seketika supaya sebati.
5. Kemudian, masukkan pula cip coklat dan gaul rata.
6. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah disapu marjerin dan ratakan.
7. Panaskan ketuhar pada suhu 160C selama 10 minit.
8. Bakar dalam ketuhar menggunakan api atas bawah, tray di tengah.. pada suhu 160C selama 45 minit (bergantung kepada ketuhar masing-masing).
9. Setelah siap, cucuk kek menggunakan lidi untuk mengetahui sama ada ia sudah masak atau belum. Jika sudah masak, lidi tersebut bersih.
10. Biarkan kek sejuk, barulah dipotong.
Anda boleh menonton video di bawah ini untuk lebih lanjut tentang cara membuatnya:
Tips:
* Adunan perlu dipukul sehingga kembang, barulah menjadi gebu kek nanti.
* Pada langkah 3, pukul adunan sehingga betul-betul kembang ye. Sampai telur sebati dengan adunan.
Mudah saja cara membuat kek marjerin cip coklat bukan? Sedap sangat! Lembut dan gebu je hasilnya. Kalau makan kek keesokan harinya, makin sedap rasa kek ini.
Anda jangan lupa mencuba resepi kek mudah ini ya. Bolehlah makan pada bila-bila masa kalau dah pandai buat sendiri kan 😉
Uittt geram plak nengoknyaaa... sedap ni minum petang dengan kopiO... nanti nak buat gak lerr......
BalasPadam