-->

Kek Oreo Lembap dan Gebu Mudah Dibuat, Pasti Jadi!





Kek Oreo Sedap dan Mudah



Asyik lihat orang lain memuatnaik gambar kek hasil air tangan mereka di Facebook, akhirnya Mai mencuba juga untuk membuat Kek Oreo Lembap dan Gebu ini. Pertama kali buat, Alhamdulillah terus menjadi. Satu keluarga suka dengan rasa dan tekstur kek ini. 

kek oreo moist


Tekstur yang lembap dan gebu membuatkan ramai yang suka dengan kek ini. Sekali suap di mulut, terus jatuh cinta hehe. Ditambah pula dengan rasa biskut Oreo padanya, memang menambah selera. Harum bau kek ini ketika dibakar. Menggoda nafsu makan je hehe.


Resepi kek Oreo ini Mai rujuk daripada grup Koleksi Resepi Azlina Ina Group (fans) di Facebook. Resepi asal kek ini adalah resepi kek marble puan Azlina Ina yang terkenal dengan kedai kek miliknya iaitu Red Houze. Cuma ditambah Oreo sahaja. Rata-rata ramai yang mengenalinya kan? Puan Azlina memang tidak kedekut untuk berkongsi resepi yang juga menjadi jualannya. 


resepi kek oreo


Jom buat kek Oreo yang sedap ini!

Resepi Kek Oreo Lembap dan Gebu



Bahan-bahan:

6 biji telur Gred A
150 gram gula kastor 
1 sudu besar ovalette - beli online ovalette di sini 
3 sudu besar susu pekat
1 sudu teh esen vanila
1/4 cawan susu segar 
3 sudu besar susu tepung (boleh tukar dengan Horlicks) - yang ni Mai tak tambah
220 gram tepung naik sendiri - beli online tepung naik sendiri di sini
150 gram mentega/marjerin cair, pastikan suam
80 gram serbuk biskut Oreo - beli online biskut Oreo di sini


Cara membuatnya:

1. Putar telur, gula, ovalette, susu pekat, esen vanila, susu segar, Horlicks dan tepung naik sendiri dengan mixer. Pukul sehingga putih gebu.
2. Setelah adunan gebu dan tidak cair, masukkan mentega yang dicairkan ke dalam adunan. Adunan dipukul rata sekejap sehingga sebati.
3. Kemudian, masukkan serbuk Oreo dan kaup balikkan sehingga sebati.
4. Lapik loyang 9 x 9 inci dengan baking paper atau disapu dengan mentega.
5. Tuang adunan ke dalam loyang. Boleh letak beberapa kepingan dan serbuk biskut Oreo sebagai hiasan.
6. Panaskan oven seketika.
7. Bakar pada suhu 150⁰C selama 45-50 minit (laras suhu dan masa mengikut oven masing-masing). Letak loyang pada rak bawah sekali, api atas bawah.
8. Setelah oven berhenti, periksa kek dengan mencucuk lidi. Jika bersih, menunjukkan kek sudah masak elok.
9. Sisip tepi kek dan terbalikkan atas dulang yang dilapik baking paper untuk mengelakkan permukaan menjadi rosak. 
10. Potong kek setelah ia sejuk. Sedia untuk dihidangkan.

Anda juga boleh menonton video dibawah ini untuk lebih jelas tentang cara membuatnya...




Tips:
  • Jangan terlebih pukul adunan. Jika tidak, tekstur kek akan menjadi sedikit keras dan kering. Serbuk Oreo juga akan jatuh ke dasar nanti, tidak sekata dalam kek. Cukup putar sehingga 7-8 minit ataupun sehingga adunan gebu dan tidak cair. Bergantung kepada mixer yang digunakan juga.
  • Untuk mendapatkan permukaan kek yang tidak gelap, suhu dan masa membakar perlu dilaraskan mengikut oven masing-masing. Oven api atas bawah ya, nak letak rak tengah boleh, atau nak letak rak bawah juga boleh.. asalkan suhu dan masa membakar dilaraskan mengikut oven sendiri.
  • Kalau kek masih mendap, tidak naik walaupun oven sudah berhenti.. itu maknanya belum masak sepenuhnya lagi. Boleh tambah masa supaya masak sekata. Jangan lupa cucuk kek dengan lidi, jika lidi bersih setelah dikeluarkan, maknanya kek sudah masak. Kek yang sudah masak elok, permukaan kek juga nampak licin dan cantik.
  • Anda juga boleh menambah emulco pelbagai perisa ke dalam adunan kek ini jika mahu. Ikut rasa masing-masing. 


Macam mana? Senang saja kan cara membuat kek Oreo ini? Jangan lupa ikut tips diatas juga ya supaya kek menjadi elok. Sekali buat, pasti rasa nak buat berkali-kali tau heee. 

resepi kek oreo




Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. save dulu resepi mai, nanti ada masa kak ana nak try lah, tq for sharing Mai

    BalasPadam

Terima kasih atas komen anda. Live link tidak dibenarkan sama sekali, jika didapati anda berbuat demikian, komen akan dibuang serta merta. Harap maklum ;)