Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kerepek Pisang Nangka Buat Sendiri, Rangup dan Sedap Berlemak!

Mudahnya Buat Kerepek Pisang Sendiri!


Kerepek pisang yang cukup lemak dan masinnya, memang menjadi pilihan Mai. Kalau mahu rasa yang menepati ciri-ciri yang 'kena' dengan lidah, buat sendirilah jawabnya kan hehe. Alhamdulillah, baru-baru ini setandan pisang nangka muda selamat diturunkan. Nak buat jual, rata-rata kedai buah menolak untuk membeli. Iyalah, musim lockdown dan PKP kan. Pelanggan pun kurang ke kedai. Tak mengapalah, boleh buat kerepek pisang nangka dan pelbagai masakan lain lagi. Buat kunyah-kunyah dalam tempoh PKP ini, sedap juga kan hehe.


kerepek pisang nangka
Kerepek pisang nangka buat sendiri. Macam-macam bentuk ada hihi


Setandan pisang nangka, selain daripada dibuat kerepek, ia juga dibuat pengat, digoreng, dimakan dengan kuah kastard dan juga kek. Mai suka dengan rasa pisang nangka yang masam-masam manis. Kalau dibuat kerepek, rasa berlemak je. Sampai ketagih mengunyah dibuatnya.

Sementara buah pisang nangka masih muda, eloklah dibuat kerepek. Mudah saja cara membuatnya. Cuma sedikit renyah bab mengupas kulit pisang muda.. bagi Mai la heee. Kalau menyagat, sekejap saja sudah siap. Bab makan, lagi mudah. Kejap je boleh habis sebalang kan 😆

Dalam ralit buat kerja, rupanya hampir satu besen setengah dapat hasil pisang yang disagat. Terbeliak biji mata. Tak sedar punya pasal. Jenuh jugalah nak menggorengnya. Maka gorenglah beberapa pusingan haha. Letih juga dibuatnya. Tapi bila dah siap, memang sedap rasanya.

Jom kome.. kite buat kerepek pisang nangka..


Kerepek Pisang Nangka

Bahan-bahan:
Pisang nangka muda
Mentega
Garam
Serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit pisang nangka muda. Kemudian rendamkan buah yang telah dikupas kulitnya ke dalam besen berisi air untuk mengelakkan lebam pada buah.
2. Sagat pisang menggunakan penyagat. 

kerepek pisang nangka

3. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali, masukkan dalam satu sudu makan mentega. Kemudian boleh mula menggoreng.
4. Masukkan pisang yang disagat sedikit demi sedikit, leraikan yang bercantum sebelum digoreng.
5. Bancuh sedikit garam dan serbuk kunyit dengan sedikit air, curahkan sedikit demi sedikit ke dalam kuali. Garam untuk memberi rasa dan serbuk kunyit untuk warna yang menarik.
6. Goreng menggunakan api sederhana dan dikacau selalu.
7. Apabila warna sudah bertukar keemasan, bolehlah diangkat dan ditoskan.
8. Biarkan sejuk seketika, kemudian simpan dalam bekas kedap udara.

Mentega dan bancuhan garam kunyit, Mai tambah sedikit demi sedikit setiap kali goreng yang baru.

Anda juga boleh menonton video di bawah untuk melihat cara membuat kerepek pisang nangka dengan lebih terperinci...


Mudah kan cara untuk membuat kerepek pisang nangka? Rasanya sedap berlemak dan sudah pasti rangup. Rasa masinnya boleh dilaraskan mengikut citarasa masing-masing. Kalau Mai tidak gemar letak banyak garam. Cukup ada rasa sedikit masin. Rasa pisang nangka sendiri memang sedap, jadi tidak perlu berlebihan tambah garam.

Selain pisang nangka, anda juga boleh menggunakan pisang abu atau pisang tanduk yang biasanya sedap dibuat kerepek. Asalkan cukup bahannya, jadilah kudapan ringkas ini.

Selamat mencuba ya!


3 ulasan for "Kerepek Pisang Nangka Buat Sendiri, Rangup dan Sedap Berlemak!"

  1. kak suka kerepek pisang yg panjang2 tu saiz dia. pisang nangka ni sedap masam masam masin manis :D

    BalasPadam