Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Agar-agar Santan Sirap Ros Sedap, Mudah Disediakan

Cara buat agar-agar santan sirap ros



Agar-agar sirap ros sangat terkenal dalam dunia seangkatannya kerana mudah disediakan. Ia sering menjadi pilihan untuk dihidangkan sebagai pencuci mulut dalam pelbagai acara. Teringat pula waktu kecil dulu, emak selalu buat agar-agar merah ini dan masukkannya dalam pelbagai acuan comel. Berebut-rebut makan hehe. Tapi agar-agar santan sirap ros lagi sedap.

agar-agar santan sirap ros
Agar-agar santan sirap ros

Baru-baru ini, kenduri doa selamat telah diadakan di rumah Mai. Sehari sebelum majlis, beberapa pencuci mulut telah disenaraikan. Akhirnya, agar-agar sirap ros dipilih. Tapi jemu juga asyik rasa jenis yang biasa je, nak juga merasa kelainan sedikit daripadanya. Mai terfikir... sedap juga kalau buat agar-agar santan sirap ros.

Apa lagi, Mai terus buat carian resepi agar-agar santan sirap ros di Google. Alhamdulillah dapat satu resepi ini beserta tips membuatnya sekali. Mudah sangat. Bahan-bahan yang diperlukan juga memang sedia ada di rumah. Cara membuatnya lebih kurang sama dengan agar-agar santan gula merah yang Mai pernah buat sebelum ini.

Mai suka buat agar-agar santan ini sebab rasanya yang unik, menarik dan mudah disediakan. Satu adunan boleh terbentuk dua lapisan. Kiranya tak perlu bancuh adunan lain untuk dapatkan dua lapisan berbeza. Lapisan santan akan naik apabila disejukkan dan lapisan agar-agar kosong berada di bawah.

Jom mula buat agar-agar santan sirap ros...


AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROS

BY: Naz @ ovenkecil.blogspot.com


Bahan-bahan :

1 paket serbuk agar-agar 10 gm atau 11 gm (beli serbuk agar-agar secara online di sini - klik)
1 liter air (4 cawan)
200 gm gula pasir (lebih kurang 1 cawan)
200-250 ml santan pekat (1 cawan) *
1 biji telur ayam - masukkan dalam santan dan kocak sedikit dengan garfu
Secubit garam
1-2 sudu besar sirap ros atau beberapa titis pewarna pink dan perisa ros
2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan

agar-agar santan sirap ros

* Boleh guna santan kotak.

* Kalau yang suka lapisan santan tu nipis jer, boleh kurangkan kuantiti santan di dalam resepi. Nanti dapatlah lapisan santan (yang bahagian atas), nipis sikit berbanding dengan bahagian bawahnya.


Cara-cara membuatnya:

1. Masak 1 liter air bersama gula dan serbuk agar-agar hingga gula larut.

2. Kecilkan api dan masukkan campuran santan bersama telur, garam dan sirap ros. Masukkan juga simpulan daun pandan.

agar-agar santan sirap ros


3. Kacau dan tunggu hingga menggelegak atas api sederhana.

TIPS PENTING!! Bila menggelegak, biar seketika lebih kurang 1-2 minit atau boleh kuatkan api dapur dan biar adunan menggelegak kuat sambil dikacau-kacau. Kacau ini untuk mengelakkan adunan membuak dan melimpah dari periuk. Pandai-pandailah adjust api dapur tu ye. Nanti akan kelihatan adunan santan jadi berbintil-bintil. Kemudian tutup api. Keluarkan daun pandan.

agar-agar santan sirap ros
Kelihatan adunan santan naik putih-putihnya

4. Basahkan loyang atau apa-apa acuan kegemaran dengan air. Kemudian tuang adunan agar-agar santan dan biarkan mengeras. Boleh simpan di dalam peti ais untuk mendapatkan agar-agar yang sejuk. Nanti akan terbentuk dua lapisan, lapisan atas santan dan lapisan bawah agar-agar merah.


Mudah saja kan cara membuat agar-agar santan sirap ros. Kalau nak dapatkan dua lapisan cantik, memang kena ikut tips yang diberikan. Mai memilih cara dengan membiarkan adunan menggelegak seketika lebih kurang 1-2 minit atas api sederhana. Memang menjadi.

agar-agar santan sirap ros


Ikut saja resepi dan tips penting yang dikongsikan. Tapi jangan risau, kalau tidak menjadi dua lapisan pun.. tetap masih boleh dimakan kan hehe. 

Selamat mencuba ;)


3 ulasan for "Agar-agar Santan Sirap Ros Sedap, Mudah Disediakan"

  1. sedapnya tengok agar2 tuh. Nanti izzati nk try la sebab izzati pon tgh cari resepi baru nk buat. Boring jgak asyik makan pencuci mulut yg sama je. Thankyou sebab share, akak. <3

    BalasPadam
  2. sedapnya mai, terasa sejuk lemak manis dan aroma ros pandan nya tu :)

    BalasPadam